Wednesday, March 23, 2011

Tazkirah Terbuka Buat Para Tholibul 'Ilm (Penuntut Ilmu)

by Zuhairi Zainuddin on Saturday, 12 March 2011 at 19:31

Pening kepala melihat 8 jenis akhlak penuntut ilmu:
  1. Terlalu keras dalam keyakinannya dan meremehkan pandangan orang lain secara keseluruhan.
  2. Memaksa orang lain mengikut cara dan pendapatnya semata. Sedangkan tugas dai'e hanyalah menyampaikan dan mad'u itu ada haq untuk memilih. Hakikatnya hidayah itu daripada Allah, bukan dirinya.
  3. Menghukumi manusia secara generalisasi, contohnya 'kalau muslim itu tersilap maka dia akan sentiasa ditolak', sedangkan kerja penilaian secara total itu adalah hak Allah ta'ala.
  4. Dirinya belum belajar agama dengan cukup mendalam dan tersusun sepertimana dipelajari graduan agama di madrasah dan universiti, tetapi cenderung berkeras dan tertutup mindanya. 
  5. Mentaliti ekstrim, minda tertutup, taksub kepada pendapat gurunya dan tidak mahu menilai kata-kata guru lain.
  6. Lebih suka melabel dan memburukkan peribadi para penyampai agama ("jangan dengar cakap dia, bahaya", "ustaz ni menyesatkan") daripada membahaskan secara ilmiah dan akademik tentang isu tersebut.
  7. Cenderung memberi 'cop sirim' hanya kepada guru yang mereka suka sahaja, dan menolak mereka yang tidak disukai secara total. Contoh: "Sheikh ini bagus, sheikh ini tak ok, sheikh ini sesat, ustaz ini jangan dengar, ustaz ini bagus"  dsbnya.
  8. Menjadi marah, melawan balik, suka memanjangkan debat, dan beremosi jika orang tidak bersetuju dengan mereka. Mereka tidak boleh bertolak-ansur WALAU SEDIKITPUN sedangkan agama ini luas dan kepelbagaian pendapat itu memang fitrah. Hal ini diakui kesemua ulama muktabar ahlus sunnah sejak zaman berzaman.
Astaghfirullah.

Jika antum ada ciri-ciri ini, saya nasihatkan, kalaulah antum lebih mengingati kematian yang akan menerjah diri antum, apakah masih ingin ikut kehendak nafsu untuk suka memburukkan dan reject peribadi muslim lain walaupun antum tidak dapat membawakan bukti seterang mentari, secara 100%, yang tidak boleh diragui, bahawa individu tersebut memang sesat dan menyesatkan?

Bagi antum, sesiapa saja yang berlainan manhaj dengan antum adalah 'merbahaya' atau 'menuju ke neraka'. Antum akan sebarkan berita bahawa orang-orang seperti ini jangan didengari. Sepatutnya sebagai penuntut ilmu yang tidak maksum, antum lebih WAJAR untuk berkata: "Sila dengar hujah saya, kemudian dengar hujah dia, kemudian sila pilih mana yang anda yakini benar." Kalau antum MEMANG TERNYATA BENAR, antum TIDAK PERLU TAKUT untuk menyatakan sebegini. InsyaAllah Allah akan menangkan antum. Sebab, kebenaran itu jelas dan kesilapan itu samar atau kelam. Malah, sikap antum itu jauh lebih berhikmah dan melambangkan kecerdasan ilmu dan emosi.

Kebenaran hakiki hanya diketahui Allah, tiada siapa boleh klaim dia paling benar sekalipun di sisi Allah memang dia benar. Seorang  muslim hanya boleh mengikuti keyakinannya. Sepertimana mafhum sabda Nabi sallallaahu a'laihi wasallam dan dijadikan motto oleh para fuqaha' dan ulama yang lain, jika seseorang (setelah berusaha sedaya upayanya) tersilap mendapat satu pahala. Jika betul, dapat dua pahala.

Di akhirat nanti, baru boleh tahu siapa yang benar dan siapa yang silap. Kalau antum mahu sangat lihat kebenaran berpihak di diri antum atau tidak, tunggu saat itu. Sekarang jangan klaim lagi, bahaya.

Pesanan ringkas: 

Jika antum tidak suka kepada mana-mana guru agama, terpulanglah jika itu keyakinan antum. TAPI janganlah generalisasi dan menghukum mereka secara total. Hanya Allah yang mengetahui segala yang zahir dan batin, jadi hanya Dia yang layak menghukumi sedemikian.

Sukakah antum jika, ada golongan lain yang menghukum secara total berkenaan diri antum? Contohnya orang lain berkata tentang antum: "Jangan dengar cakap dia, sesat, merbahaya". Kemudian orang membenci antum kerana klaim tersebut. Tentu antum akan marah dan rasa teraniaya.

Janganlah paksa orang lain menuruti pendirian antum, sekalipun MEMANG hakikatnya antum benar dan orang lain salah. Biar orang ramai mendengar segala yang mereka mahu dengar dan baca. Tugas antum hanya menyampaikan dan boleh membantah secara ilmiah sahaja, bukan pelabelan.

Sila lebih berlapang dada sekalipun antum memang benar, sebab itu jauh lebih berakhlak dan berhikmah dalam usaha dakwah.

Dengar dulu kata-kata mereka yang dididik dan diberikan ilmu. Yang baik dan sahih kita terima, yang tidak sahih kita tolak tepi dulu. Ambil case by case.

Jangan cenderung menggelar seseorang guru sebagai  'merbahaya' atau 'sesat' dengan begitu cepat. Kajian dan analisa perlu teliti dan harus ditinjau daripada segenap sudut. Antum mungkin tersilap menilai kerana terburu-buru. Dia mungkin sudah ubah pandangannya. Mungkin tulisannya disalah fahami. Mungkin konteksnya berbeza. Antum belum habis menelaah fikrahnya dan tidak banyak mendengar ceramahnya. Mungkin dalam soal lain beliau sefikrah dengan antum. Antum mungkin belum pernah berdialog dan bertanya terus dengannya. Antum tidak tahu kitab rujukannya. Antum tidak tahu kekuatan hafalannya dan markah periksanya. Mungkin saja dia banyak mengambil ilmu daripada guru-guru atau sheikh yang antum sukai. Banyak lagi faktor-faktor lain yang menyebabkan aktiviti 'melabel' antum itu belum layak lagi bagi guru tersebut.

Kalaulah di sisi Allah dia termasuk antara calon syurga kerana dakwahnya, maka antum sedang mengundang masalah untuk diri antum kerana fitnah antum ke atasnya. Antum sanggup?

Kalau hanya nak cari hanya yang maksum saja sebagai guru, sila naik mesin masa dan kembali berguru dengan Nabi sallallaahu a'laihi wasallam sahaja.

Mesej ini saya tujukan BUAT DIRI SAYA DAHULU SEBELUM ORANG LAIN.

WAllahu a'lam.

 P/s : Bersama-sama kita bermuhasabah dan jangan memilih untuk dalam mencari ilmu. Tolong ingatkan untuk saya dan rakan-rakan lain.

e.r.j.

No comments:

Post a Comment